“ Sudah menjadi tabiat Rasulullah selepas memberi salam dari solatnya, baginda akan meninggikan suara dengan mengucapkan:
" لااله الا االه وحده لاشريك له , له الملك وله الحمد وهو على كل شىء قدير, ولا حول ولا قوة الا بالله ولا نعبد الا اياه له النعمة وله الفضل "
Terdapat juga sanggahan-sanggahan yang mengatakan berzikir dengan lantang seperti mana yang diamalkan di dalam tarekat-tarekat tidak ada Nas Syar’ie. Iman As-Sayuti di dalam kitabnya “ Natjah Al-Fikr Fi Al-Jahr Bizzikri “ mendatangkan 25 hadis yang mengharuskan zikir secara lantang. Beliaw juga berkata “ Sesungguhnya tidaklah makruh pada amalan zikir secara lantang. Adakalanya datang hadis dengan menghukum sunat zikir secara lantang dan adakalanya pula hadis datang dengan menghukum sunat zikir secara perlahan. Himpunan-himpunan hadis itu mendatangkan natijah bahawa cara zikir itu berbeza-beza mengikut keadaan dan individu masing-masing.”
Dalil bagi golongan yang tidak mengharuskan zikir secara lantang ialah firman Allah Taala di dalam Surah Al-A’raf ayat 205:
" واذكر ربك فى نفسك تضرعا وخيفة ودون الجهر من القول "
Maka ulamak telah menjawab bahawasanya ayat itu diturunkan di Mekah seperti ayat di dalam Surah Al-Israk ayat 110 “ ولا تجهر بصلاتك ولا تخافت بها “. Ayat ini diturunkan ketika Nabi S.A.W melantangkan bacaan Al-Quran. Kafir musyrikin telah mendengar bacaan Nabi S.A.W dan memaki Allah dan Al-Quran. Maka Nabi S.A.W diarahkan oleh Allah agar meninggalkan bacaan Al-Quran secara lantang ketika itu.Imam Nawawi di dalam fatwanya juga mengatakan bahawa zikir secara lantang terlebih afdhol daripada zikir perlahan di sisi Mazhab Imam Syafi’e, dua riwayat di sisi Imam Malik dan Mazhab Imam Ahmad.
Setiap ahli tarekat juga digalakkan supaya sentiasa berzikir secara individu dan berkumpulan atau di dalam majlis zikir (halaqah zikir). Biasanya majlis zikir ini akan diadakan sekali atau dua kali seminggu. Semuanya ini dilansungkan mengikut landasan syarak tanpa mencampuri perkara-perkara syubhat dan haram seperti iktilath ( bercampur lelaki dan perempuan tanpa mengikut hukum syarak) ,menggunakan alat muzik yang diharamkan, menyanyi dan sebagainya. Pertemuan inilah memberi kesempatan kepada syeikh untuk menyematkan adab-adab dan membentuk akhlak ahli-ahlinya.
Saidina Anas R.A mengatakan bahawa Rasulullah pernah bersabda :” Apabila kamu semua lalu berhampiran dengan taman-taman syurga, maka berhenti dan duduklah di situ. Sahabat bertanya: Apakah taman-taman syurga itu? Rasulullah menjawab :” Halaqah zikir” (iaitu majlis zikir).
Selain daripada mengikuti majlis zikir, ahli tarekat juga tidak meninggalkan zikir ketika bersendirian samada Zikir Mutlak ataupun Zikir Muqayyad. Amalan ini dilakukan tanpa meninggalkan adab-adab yang ditentukan seperti berpakaian bersih, berwangi-wangian, merendahkan serta menghina diri, khusyuk, sopan, menundukkan kepala, menjaga hati dari hasad, bakhil , riak, ujub, mengingati kelazatan dunia daan sebagainya. Zikir Muqayyad adalah zikir yang tertakluk kepada masa dan tempat seperti zikir selepas menunaikan solat, tasbih, tahmid dan takbir, ketika musafir, makan , minum, sebelum tidur, selepas bangun dan lain-lain zikir yang telah sunatkan kepada kita. Zikir Mutlak ialah zikir yang tidak tertakluk kepada masa dan tempat tetapi dituntut di dalam setiap kedaan bagi memenuhi tuntutan firman Allah Taala di dalam Surah Al-Baqarah ayat 152 :
" فاذكروني أذكركم "
Saidatina Aishah telah meyifatkan Rasulullah dengan katanya :” Tabiat Rasulullah ialah berzikir pada setiap masa”. (riwayat At-Tarmizi di dalam kitab Dakwah)
Seseorang Syeikh tarekat akan menetapkan bilangan zikir Mutlak berdasarkan kemampuan ahlinya. Ahlinya juga boleh meminta izin untuk menambahkan bilangan zikir itu seandainya dia mampu . Meminta keizinan ini dalah salah satu adab seorang ahli di dalam proses pentarbiahan rohani. Antara lafaz zikir yang digunakan di dalam sebuah tarekat ialah Istiqfar, Salawat, Tahlil , lafaz Allah dan sebaginya. Sesetengah tarekat mementingkan pergerakkan ketika berzikir. Pergerakkan ini bukanlah suatu bid’ah tetapi perkara yang diharuskan pada syarak berdalilkan hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnad nya dan Al-Hafiz Al-Maqdisi.
Anas R.A berkata “ Orang-orang Habsyah menari-menari di samping Rasulullah sambil berkata:” Muhammad hamba Allah yang soleh”. Maka Rasulullah S.A.W bertanya:” Apakah yang mereka katakan” lalu dijawab :” Sesungguhnya mereka mengatakan Muhammad hamba Allah yang soleh”.
Tatkala Rasulullah S.A.W melihat mereka, baginda tidak mengingkarinya sebaliknya mentakrirkan perkara itu. Telah maklum bahawa hukum-hukum syarak diambil daripada sabda baginda, perbuatan dan takrir. Jelas kepada kita bahawa amalan itu harus hukumnya.
Saidina Ali R.A pernah menceritakan keadaan golongan yang berzikir dengan katanya : ” Mereka beralun-alun seperti pokok yang beralun pada hari ditiup angin.”
Ibnu Abidin R.A di dalam fatwanya telah menghukum harus pergerakkan di dalam berzikir. Pergerakkan ini dapat membangkitkan semangat ahli zikir dan membawa kepada kenikmatan di dalam berzikir. Walau bagaimanapun, terdapat juga golongan-golongan yang mengakui bahawa mereka adalah ahli tarekat dan mengadakan majlis zikir dengan memasukkan unsur-unsur yang berbentuk syubhat dan haram seperti alat muzik yang dilarang oleh Islam, menyanyi dan berbual-bual kosong tanpa ada hubungan dengan amalan-amalan membersihkan hati. Ini berlaku kerana kejahilan orang-orang tertentu dan serta bukan di atas manhaj-manhaj tarekat dan tasawuf.
- والله أعلم بالصواب -
No comments:
Post a Comment