Thursday, August 21, 2008

Adab sopan ketika berdoa

Sebagai umat Islam kita yakin dengan hidayat dan nikmat Allah, kita sering berdoa memohon sesuatu daripada-Nya. Justeru, kita menadahkan tangan, terutama ketika kita menghadapi pelbagai kesulitan hidup.
Allah berfirman bermaksud:
"Berdoalah, nescaya aku perkenankan untukmu".
Dalam sebuah kitab Hikam ada dijelaskan mengenai konsep doa. Menurut kitab itu, apabila Allah melepaskan lidahmu untuk memohon, ketahuilah bahawa Allah ingin memberikan pertolongan mengikut apa yang dipohon. Oleh yang demikian, berdasarkan doa itu sendiri yang berfungsi sebagai jiwa ibadat, maka proses doa itu adalah permohonan yang diatur dalam bentuk ayat yang menyatakan suara hati seseorang hamba.
Ketenangan jiwa akan diperolehi apabila segala kesulitan yang membabitkan diri manusia dilepaskan kepada Allah. Permohonan itu disusun dengan penuh perasaan. Selepas itu jiwa kembali jernih, murni selepas dibulatkan segala permasalahan - dalam bentuk jalinan kalimat, ditujukan pula kepada Allah.
Bertepatan dengan konsep doa itu sendiri sebagai perantara yang membabitkan suatu ruang waktu yang tiada had dan batasnya, maka Allah sendiri menyuruh setiap hambanya berdoa tanpa mengira keadaan dan masa.
Sebenarnya bentuk doa akan diperkenankan mengikut ketentuan Tuhan, asal saja doa atau permohonan itu menuju ke arah kebaikan untuk diri, keluarga, masyarakat dan umat sejagat.
Isi doa juga sewajarnya mengandungi unsur-unsur kesejahteraan umat, memohon untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat, murah rezeki, sihat tubuh badan, tambahkan ilmu pengetahuan dan keimanan.
Islam melarang keras berdoa kepada Allah dengan motif yang tidak baik dan bertujuan jahat, umpamanya seseorang memohon kepada Allah:
"Ya Allah, cabutlah nyawaku, aku tidak sanggup lagi


menghadapi kesusahan di dunia ini."
Rasulullah tidak pernah memohon doa bertujuan untuk merosakkan umat manusia, biar pun baginda seringkali menderita kerana perbuatan orang lain terhadapnya.
Ruang hidup dan situasi untuk kita bertindak begitu luas. Misalnya, seseorang itu gagal dan kecewa dalam sesuatu bidang yang disertainya, sesekali perlulah beralih ke bidang lain yang berlainan, insya-Allah dengan semangat dan motivasi yang baru, Allah akan menitipkan rahmat dan nikmat-Nya. Seiring itu juga, kita perlu memperbanyakkan ibadat kepada Allah, kuatkan semangat serta berdoa setiap masa.
Ketidaksesuaian sewaktu berdoa turut mempengaruhi kesempurnaan berdoa. Di masjid atau surau dapat dilihat jemaah dalam pelbagai aksi sewaktu imam melafazkan doa, ada yang memegang sapu tangan, buku dan majalah. Tak kurang juga yang suka mencuit-cuit sesama sendiri.
Keadaan sebegitu tentunya tidak manis dan tidak sesuai pula dalam suatu keadaan yang begitu mengharapkan pertolongan Allah. Kita sewajibnya berada dalam keadaan penuh khusyuk, rasa rendah diri mengharapkan pertolongan Allah saja.
Beberapa adab sopan seperti yang dianjurkan oleh agama perlulah sama-sama diikuti sewaktu memohon pertolongan dari Allah. Imam Al-Ghazali menyenaraikan perkara itu dalam Kitab Ihya Ulumu Din Jilid 1, halaman 306-309. Antaranya ialah:
1. Pada Hari Arafah, bulan Ramadan, hari Jumaat dan waktu sahur.


2. Dalam keadaan yang khusyuk seperti waktu sujud

3. Menghadap kiblat dan mengangkat tangan sampai ke garis ketiak, bukan atas lutut.

4. Merendahkan suara, hanya sekadar dapat didengar oleh orang yang ada di sisi kita.

5. Tidak perlu menggunakan kata-kata bersajak, cukuplah dengan kata-kata yang sederhana serta merendahkan diri, tidak perlu berirama, namun diutamakan doa yang berasal daripada Rasulullah s.a.w. dan sahabat.

6. Mempercayai dan berkeyakinan dengan doa itu. Tidak kecewa dan gelisah jika doa belum lagi diperkenankan.

7. Memulakan doa dengan memuji Allah, jangan terus memohon apa yang dihajati.

8. Taubat sebelum berdoa.

No comments: