Wednesday, June 23, 2010

Fatwa Di Singapura

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM(BAB 3, BAHAGIAN 32)
FATWA YANG DIKELUARKAN OLEHJAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
Jawatankuasa Fatwa telah mengadakan pertemuan dengan pihak “Madrasah Faiz al-Baqarah” pada 11 March 2010, dan telah mengeluarkan fatwa yang berikut pada mesyuarat yang ke 21, bertarikh 20 Mei 2010.

FATWA : Ajaran Madrasah Faiz al-Baqarah
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه . وبعد ،

Jawatankuasa Fatwa telah menerima aduan daripada masyarakat umum serta laporan Berita Harian (8 Februari 2010) mengenai ajaran kumpulan “Madrasah Faiz al-Baqarah”.

2 Jawatankuasa Fatwa telah mengadakan pertemuan dengan ketua kumpulan “Madrasah Faiz al-Baqarah”, Rahman Bin Kamari, pada 11 Mac 2010, untuk mendapatkan kepastian terhadap maklumat dan laporan yang telah diperolehi.

3 Berdasarkan dokumen-dokumen dan laporan yang diperolehi berkaitan kumpulan tersebut, dan hasil dari pertemuan di atas, Jawatankuasa Fatwa telah memperolehi beberapa maklumat baru mengenai ajaran kumpulan tersebut, seperti berikut:

  • “Madrasah Faiz al-Baqarah” adalah nama yang digunakan sebagai menggantikan nama ajaran terdahulu – “Roh Mutmainnah” – yang dipelopori oleh Hassan Bin Jonit.
  • Rahman mendakwa telah menuntut bersama Hassan Bin Jonit selama 40 tahun.
  • Rahman mendakwa beliau adalah wakil ”Guru Besar”, yang menurutnya berada di alam roh dan bernama ”Ustaz Muhammad Noor”.
  • Rahman mendakwa beliau sering berkomunikasi bersama “Guru Besar” itu. Komunikasi ini berbentuk suara yang didengari olehnya sahaja, ketika dia berada di dalam keadaan antara jaga dan tidur.
  • Rahman mendakwa bahawa “yang maha mulia” “Ustaz Muhammad Noor” adalah Nabi Muhammad s.a.w. yang awwalin, iaitu roh yang datang kepada nabi-nabi terdahulu seperti Nabi Adam a.s.
  • Rahman menyatakan bahawa sepupunya, Kamaruzaman Bin Ismail, telah mula mendengar “suara”.
  • Kumpulan ini melakukan ibadat sebagaimana umumnya yang dilakukan Muslim lain. Namun, ia tertakluk kepada perubahan berdasarkan panduan daripada suara tersebut.
  • “Suara” tersebut telah memberitakan kepada Rahman bahawa pada 2 Januari 2010, akan berlaku gempa bumi di Singapura. Rahman diarahkan bersama wakilnya agar meninggalkan Singapura. Oleh itu, Rahman dan beberapa ahli keluarga dan kenalannya telah keluar meninggalkan Singapura dan menuju ke Gelang Patah, Johor Bahru, untuk berlindung.
  • Rahman menjelaskan bahawa suara tersebut mengarahkan kepadanya untuk menyebarkan ajaran ini ke seluruh dunia.
  • Rahman bertegas akan meneruskan perjuangannya, walau apa pun tindakan yang akan dikenakan ke atasnya oleh pihak berkuasa.

4 Berdasarkan maklumat yang ada, Jawatankuasa Fatwa merumuskan bahawa ajaran “Madrasah Faiz al-Baqarah” adalah sebagai berikut:

  • “Madrasah Faiz al-Baqarah” adalah penerus ajaran “Roh Mutmainnah” setelah matinya Hassan Bin Jonit. Ajaran Hassan Bin Jonit tersebut telah dihukumkan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS pada tahun 1974, dan pada tahun 2001;

  • Dari sudut akidah, walaupun “Madrasah Faiz al-Baqarah” mengaku mempelajari akidah Sifat 20, Jawatankuasa Fatwa mempunyai pemerhatian terhadap akidah dan keyakinan “Madrasah Faiz al-Baqarah” seperti berikut:

  • Keyakinan mereka bahawa suara yang didengari guru mereka adalah “ilham” dari Loh Mahfuz, lalu dibukukan di dalam sebuah buku kecil bertajuk “Berita Agama”. Ini sepertimana yang dinyatakan di dalam mukaddimah kitab tersebut:
“Dengan Rahmat Allah jua perkataan di dalam kitab ini dibawa dari Loh Mahfudz memberi khabar dan petunjuk bagi mereka-mereka yang takut kepada Allah.”

  • Hampir keseluruhan dari “ilham-ilham” tersebut adalah di dalam bahasa Melayu serta mengandungi ayat yang terputus-putus, sehingga tidak dapat difahami maksudnya. Ciri ini adalah sama di antara “ilham” yang diterima Hasan Bin Jonit, dan “ilham” yang diterima penerus ajarannya, Rahman Bin Kamari.

Contoh “ilham” yang diterima Hasan bin Jonit: "...barang yang kamu kata. Allhumma solli ’alaa saiyidinaa Muhammad. Nabi Muhammad yang dilahirkan itu sudah tidak ada lagi. Tetapi Nabi Muhammad yang ada pada kamu itu cari bela pelihara. Hari keputeraan Nabi Muhammad ” .

Contoh “ilham” yang diterima Rahman Bin Kamari: "Engkau ambil ini berita. Dunia ini akan digoncang semula jadi. Ratapan umat Muhammad tak didengari. Ratapan Ibu mu menjadi saksi. Wahai anak Ku kesayangan Bonda. Apakah nasib, apakah dosa. Junjungan kaseh, junjungan mulia. Wahai Ibunda ku sayang. Sayang semangat, sayang si roh...”.

  • Keyakinan mereka bahawa “ilham-ilham” yang diterima pembimbing ”Madrasah Faiz al-Baqarah” berasal dari gurunya di alam ghaib yang bernama ”Muhammad Noor”. Dia juga mendakwa guru tersebut adalah cahaya dari Nabi Muhammad s.a.w. Kenyataan tersebut merupakan sebuah pendustaan ke atas Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
)مَنْ كَذَبَ عَليَّ مُتَعَمِّداً فَلْيَتَبَوَّأ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ (
Yang bermaksud : Barangsiapa yang mendustai ke atas aku, maka hendaklah dia menempah tempatnya di neraka. (Hadis riwayat Imam Tirmizi & Abu Dawud).
  • Keyakinan bahawa gurunya ”Muhammad Noor” tidak menyerupai sesiapa yang di langit dan di bumi, dan hal keadaannya ada persamaan dengan Allah s.w.t. Keyakinan ini dengan jelas membawa kepada syirik. Allah s.w.t berfirman:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Yang bermaksud : Tiada yang serupa denganNya, dan Dia Maha mendengar lagi Maha melihat. [Surah As-Syura, ayat 11].
Sedangkan syirik merupakan dosa yang besar di sisi Allah s.w.t.. Firman Allah s.w.t.:
إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Yang bermaksud: Sesungguhnya syirik itu merupakan satu kezaliman yang besar. [ Surah Luqman, ayat 13]

  • Keyakinan mereka bahawa “ilham” yang diterimanya harus diikuti walaupun bercanggahan dengan hukum syariat. Keyakinan tersebut tiada asasnya dari segi syariat, dan sebaliknya, hanya mengikuti hawa nafsu dan keinginan peribadi. Allah s.w.t berfirman berkenaan dengan mereka yang menjadikan hawa nafsunya sebagai sandaran kehidupannya:
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ الله عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ
وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غشاوة
Yang bermaksud: Tidakkah kamu melihat siapa menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur), dan dimeteraikan pula atas pendengaran dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya. [Surah Al-Jathiyah, ayat 23]

  • Berdasarkan keyakinan mereka terhadap “ilham” seperti yang telah dinyatakan, Rahman Bin Kamari telah membuat ramalan gempa bumi yang tidak benar, dan mengaku telah menerima ramalan tersebut dari gurunya yang berada di alam roh bernama “Muhammad Noor”. Ramalan tersebut telah menimbulkan keresahan dan kekeliruan kepada masyarakat. Ini bertentangan dengan panduan Nabi Muhammad s.a.w:
(المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمُ ، لاَ يَخُونُهُ ، وَلاَ يَكْذِبُهُ ، وَلاَ يَخْذُلُهُ).
Yang bermaksud: Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, dia tidak mengkhianatinya, tidak mendustainya, dan tidak mengabaikannya. (Hadis riwayat Tirmizi).

Ramalan yang seperti ini juga jelas bercanggahan dengan prinsip keimanan yang terkandung di dalam Surah Luqman ayat 34:
إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي
نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Yang bermaksud: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. [Surah Luqman, ayat 34]

iii. Dari sudut amalan agama, mereka telah merubah sebahagian hukum agama berdasarkan “ilham” yang diterima. Sebagai contoh, “ilham” yang diterima telah mengajar mereka melakukan sujud dengan mengenakan hidung dan dagu, dengan dahi tidak diwajibkan menekan ke bumi. Sujud serupa ini adalah tidak menepati syarat yang dinyatakan dengan jelas di dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w:
( أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ : عَلَى الْجَبْهَةِ ، وَأَشَارَ بِيَدَيْهِ إلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ
وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ )
Yang bermaksud: Kami telah diperintah untuk melaksanakan sujud di atas tujuh tulang (bahagian): di atas dahi, lalu rasul menunjukkan sampai ke hidungnya, dan di atas kedua telapak tangan, dan kedua-dua lutut, dan di penghujung kaki. (Hadis riwayat Bukhari & Muslim).

Para ulama’ secara umum telah menegaskan bahawa sujud yang tidak menepati syarat menyebabkan solatnya tidak sah. Rasulullah s.a.w juga telah memerintahkan agar tidak menokok tambah syariat Allah s.w.t.. Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
)تَركْتُ فيكُمْ أَمْرَيْنِ لنْ تَضِلُّوا ما تَمسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتاَبَ اللهِ ، وَسُنّةَ رَسُوْلِهِ ( .
Yang bermaksud: Aku tinggalkan bagi kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang teguh kepadanya : Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. (Hadis riwayat Imam Malik & Tirmizi).

5 Setelah mempertimbangkan segala perkara di atas, Jawatankuasa Fatwa membuat keputusan berikut:

  • Fatwa 1974 & 2001:
“Madrasah Faiz al-Baqarah” adalah penerus ajaran Hasan bin Jonit, yang mana ajaran tersebut telah difatwakan sesat pada tahun 1974 dan 2001 oleh Jawatankuasa Fatwa, di atas dasar berikut:
  • Hasan Bin Jonit mendakwa menerima “ilham” dari Nabi Muhammad s.a.w.
  • Mendakwa bahawa buku “Ilham Kitabullah Kitab Al-Akbar” sebagai penafsiran isi kandung Al-Quran.
  • Menafsirkan Al-Quran mengunakan “ilham”, tanpa mengikuti kaedah tafsiran yang disepakati ulama’, dan tanpa memahami bahasa Arab.

  • Akidah “Madrasah Faiz al-Baqarah”
Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa akidah “Madrasah Faiz al-Baqarah” adalah menyeleweng dan sesat lagi menyesatkan. Akidah yang mereka bawa adalah menyimpang dari ajaran Islam yang murni.

  • Amalan “Madrasah Faiz al-Baqarah”
Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa amalan-amalan mereka yang bercanggahan dengan Al-Quran, Sunnah dan ijmak ulama’, merupakan bid’ah yang sesat. Ini bersandarkan firman Allah s.w.t:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيْتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِيْناً
Yang bermaksud: Pada hari ini Aku sempurnakan agama kamu, dan aku sempurnakan nikmatKu keatas kamu dan aku redha agama Islam sebagai agama mu. [Surah Al-Maidah, ayat 3]

Oleh itu, cara ibadah solat yang mereka lakukan adalah salah dari segi syariat, dan menyebabkan solat menjadi batil dan tertolak di sisi Islam.

  • Ilham & Ramalan “Madrasah Faiz al-Baqarah”
Dakwaan “ilham” yang diterima Rahman Bin Kamari adalah dusta semata-mata. Ianya boleh menyebabkan kekeliruan dan kekacauan pada umat Islam, serta boleh membawa kepada kesesatan. Ramalan yang dilakukan Rahman Bin Kamari merupakan satu pendustaan terhadap Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w.

6 Atas sebab-sebab demikian, maka Jawatankuasa Fatwa mengarahkan agar “Madrasah Faiz al–Baqarah”:
  • menghentikan segala pengendalian kelas-kelas;
  • menghentikan pencetakan dan penyebaran segala jenis buku ”Madrasah Faiz al-Baqarah” dalam bentuk apa sekalipun;
  • menghentikan segala penyebaran ”ilham” dan ramalan.

7 Jawatankuasa Fatwa menasihati Rahman Bin Kamari serta semua pengikut ”Madrasah Faiz al-Baqarah” untuk bertaubat kepada Allah s.w.t, dan membebaskan diri mereka dari segala ajaran Hasan Bin Jonit dan ajaran ”Madrasah Faiz al-Baqarah”, demi menjaga kemurnian, keimanan dan pengamalan Islam mereka.

8 Berdasarkan Fatwa 1974 dan Fatwa 2001, serta fatwa yang terkini (2010), Jawatankuasa Fatwa memutuskan agar kesesatan ajaran kumpulan ini didedahkan kepada masyarakat, supaya masyarakat tidak mengikuti ataupun terpengaruh dengan ajaran dan dakwaan palsu mereka.

الله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه وسلم.

SYED ISA MOHD B SEMAIT
MUFTI NEGARA SINGAPURA
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA|
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

Petikan Dari: http://www.muis.gov.sg/cms/oomweb/fatwa.aspx?id=15216

No comments: